Saturday 17 March 2012

Kita adalah khalifah!


Wujud dikalangan manusia menyatakan bahawa Islam ini adalah agama yang sempit dan jumud.
Sebenarnya, Islam tidak pernah sesekali mengenepikan dunia.
Bahkan Islam mendidik penganutnya untuk mentadbir dunia.
Bukankah Allah menurunkan kita ke dunia sebagai khalifah?


Kita ini khalifah.
Allah SWT berfirman:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” Surah Al-Baqarah ayat 30.
Ya. Itulah dia bukti bahawa dunia ini bukanlah sesuatu yang patut kita biarkan begitu sahaja. Kita adalah khalifah. Pentadbir dunia.
Kita sepatutnya tidak meninggalkan dunia ini terkontang-kanting dipandu oleh Jahiliyyah. Tetapi kitalah yang sepatutnya mengikat dunia ini dengan cahaya kebenaran daripada Allah SWT. Dengan Islam. Dengan iman dan taqwa.
Ya. Bukan semata-mata terpenjara di dalam masjid dan di atas tikar sejadah.
Perlu menjadi muslih(yang men’soleh’kan orang) bukan sekadar menjadi ‘soleh’.
Allah SWT berfirman:
“Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka. Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya.” Surah Al-Baqarah ayat 201-202.
Mendalami perkara ini, jelas kita perhatikan bahawa, hendak berjaya di akhirat itu, apakah peluangnya? Bukankah peluangnya di dunia? Ya. Kehidupan kita di dunia inilah merupakan saham kita di akhirat sana.
Maka bagaimanakah kita mampu menggapai akhirat dengan jayanya, sekiranya kita biarkan dunia ini rosak dengan maksiat dan kemungkaran yang berleluasa? Bagaimana kita mahu berjaya di akhirat, sekiranya di dunia ini dipenuhi dengan perkara yang menjauhkan manusia daripadaNya?
Di sini, tidakkah tercetus di dalam diri kita betapa kita perlu ‘membentuk’ dunia ini, agar menjadi satu tempat yang kondusif untuk mengejar redhaNya?
Tidakkah kita merasakan bahawa kita perlu ‘mentadbir’ dunia ini sebaiknya?
Tidakkah kita ingat akan firman Allah SWT:
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.”Surah As-Saba’ ayat 96.
Tidakkah kita mahukan perkara itu? Bagaimana mahu menjadikan penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, sekiranya pemimpinnya tidak mengimarahkan negeri itu dengan amalan kebaikan, tidak menyediakan banyak saluran untuk masyarakatnya memahami Islam yang sebenar, tidak membina jiwa dan peribadi rakyatnya?
Ya. Tidakkah kita melihat bahawa Islam juga mendidik kita untuk ‘membina’ dunia?

Penutup: Maka Jadilah Yang Tertinggi. Hanya Rendah KepadaNya Sahaja!
Kita hanya hamba kepada Allah SWT. Kita tidak pernah tunduk kepada yang selainNya. Hatta Dunia. Ya. Kita tidak tunduk kepada Dunia. Kita MENTADBIR dunia.
Kita tidak meninggalkan kekuatan ekonomi, kekuatan di dalam hiburan, kekuatan di dalam teknologi, kekuatan di dalam pemerintahan, dan memasungkan diri kita di dalam masjid semata-mata, menyibukkan diri kita dengan ibadah khusus semata-mata.
Tetapi kita membina ekonomi itu, hiburan itu, teknologi itu, pemerintahan itu, di atas dasar-dasar Islam, di atas dasar ketaatan kita kepada Allah SWT.
Ya. Itulah dia khalifah.
Itulah dia pentadbir Dunia.
Kita tundukkan dunia kepadaNya.
Bukan meninggalkan dunia, agar diperintah oleh musuh-musuhNya.
Mari kita hidupkan jiwa khalifah ini. Mari kita hidupkan jiwa pentadbir ini. Mari bercita-cita tinggi. Mari kerah usaha keras. Jangan kita tunduk berdiam diri dan melewati hari dengan jahiliyyah yang memerintah dunia ini.
Kita yang perlu memerintahnya, agar seluruh isi dunia ini tunduk kepadaNya.
Ayuh. Mari Menjadi Hamba, hanya kepada Dia!

via: http://langitilahi.com/7476