Monday 6 February 2012

Taubat Setelah 40 tahun Bergelumang Dosa

Pada zaman Nabi Musa a.s., pernah berlaku musim kemarau yang panjang kepada Bani Israel. Lantaran itu, mereka berhasrat untuk berkumpul dan menemui Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun.  


     Mereka merayu kepada ketua mereka dengan berkata: "Wahai nabi Allah yang merupakan kalamNya, tolonglah mohon kepada Tuhanmu agar Dia berkenan menurunkan hujan untuk kami."
     
     Kemudian Nabi Musa a.s. bersama-sama kaumnya berangkat menuju ke kawasan lapang. Menurut suatu pendapat seperti yang dinyatakan oleh Ibn Qudamah dalam al-Tawwabin, bilangan mereka pada waktu itu lebih kurang 70 ribu orang.


     Setelah mereka sampai ke tempat yang dituju , maka Nabi Musa a.s. mula berdoa agar diturunkan hujan (al-istisqa'). Antara isi doa tersebut adalah:
      
     "Tuhanku, siramlah kami dengan air hujan-Mu, taburkanlah kepada kami rahmat-Mu dan kasihanilah kami terutama bagi anak-anak kecil yang masih menyusu, haiwan ternak yang memerlukan rumput dan orang tua yang sudah bongkok. Sebagaimana yang kami saksikan pada saat ini, langit sangat cerah dan cuaca semakin panas."


     Allah s.w.t. telah menurunkan firman-Nya yang bermaksud: "Aku tidak merendahkan kedudukanmu di sisi-Ku, sesungguhnya di sisi-Ku kamu mempunyai kedudukan yang tinggi. Cuma dalam kalangan umatmu ini , ada seorang yang telah melakukan perbuatan maksiat selama 40 tahun. Selagi dia masih berada dalam kumpulan umatmu ini, maka dia menjadi penyebab terhalang turunnya hujan untuk kamu semua."


     Nabi Musa a.s. kembali berkata:"wahai tuhanku aku adalah hamba-Mu yang lemah,suaraku juga lemah, apakah mungkin suaraku ini akan dapat didengarinya dalam lingkungan jumlah manusia yang melebihi 70 ribu orang ini?"


    Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:" Wahai Musa, kamulah yang memanggil dan Akulah yang akan menyampaikannya kepada mereka!"


    Mentaati dengan apa yang diperintahkan oleh Allah, maka Nabi Musa a.s. segera berdiri dan berseru kepda kaumnya: "Wahai seorang hamba yang derhaka kepada Tuhannya, sudah lama engkau melakukan dosa kepada Allah s.w.t. Keluarkanlah kamu dari tempat ini, kerana kewujudanmu menghalang hujan daripada diturunkan oleh Allah s.w.t kepada kami semuanya."
    
Mendengar seruan daripada Nabi Musa a.s. maka orang derhaka yang dimaksudkan itu berasa sangat serba salah. dia melihat ke kanan dan ke kiri. Namun, dia tidak melihat seorang pun yang keluar. Dengan demikian, yakinlah dia bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi Musa a.s. itu ialah dirinya sendiri. Dalam hatinya timbullah penyesalan yang amat mendalam.


    Dia berkata dalam dirinya: "Jika aku keluar daripada kumpulan ini, nescaya akan terbukalah segala kejahatan yang telah aku lakukan selama ini. Dimanakah akan diletakkan maruah dan kemulian keluargaku ? Tentulah mereka akan dipandang hina keranaku. Akan tetapi jika aku tetap bersama mereka, pasti hujan tidak akan diturunkan oleh Allah s.w.t. Ya Allah! kesalnya aku, malunya aku. Terimalah taubatku, aku berjanji tidak akan mengulangi maksiat2 itu lagi. Ya Allah, sesungguhnya aku telah derhaka kepadaMu selama lebih 40 tahun,walaupun demikian Engkau masih memberikan kesempatan kepadaku, dan sekarang aku datang kepdaMu dengan ketaatan, maka terimalah taubatku ini. Janganlah dibuka keaibanku di hadapan ramainya hamba2 Mu dan Nabi2Mu."


      Akhirnya, lelaki itu bertekad menundukkan kepalanya kerana bimbang dilihat oleh orang ramai yang mencari-cari siapa sebenarnya pesalah yang dikehendaki itu. Beberapa detik selepas itu, kelihatan awan berkumpul di langit. Seiring dengan itu, hujan pun turun dengan lebatnya.
   
    Melihat keadaan demikian, maka Nabi Musa a.s. berkata:"Tuhanku, mengapakah engkau mengurniakan nikmat dan rahmat hujan kepda kami sedangkan pesalah belum lagi menyerah diri?" 


    Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:"Wahai Musa, aku menurunkan hujan ini juga disebabkan oleh orang tersebut yang dahulunya menjadi sebab Aku tidak menurunkan hujan kepada kamu."


    Nabi Musa a.s. berkata:"Tuhanku, lihatlah kepadaku siapa sebenarnya hambaMu yang dimaksudkan itu?"


    Allah s.w.t. telah berfirman, maksudnya:"Wahai Musa, dahulu ketika dia melakukan maksiat dan derhaka kepadaku, Aku tidak pernah membuka aibnya. Apakah sekarang Aku akan membuka aibnya itu ketika dia telah kembali melakukan ketaatan kepadaKu?"